BINTULU, 1 FEB: Lambakan perabot dan barangan rumah yang rosak dapat disaksikan membanjiri bandar Bintulu ketika ini mencerminkan betapa dahsyatnya impak banjir kali ini terhadap kehidupan penduduk di sini.
Mangsa banjir yang mula membersihkan kediaman mereka sejak semalam (Jumaat) terpaksa menerima hakikat pahit bahawa hampir semua perabot, peralatan elektrik, dan barangan keperluan harian musnah sepenuhnya.
Hujan lebat berterusan dan air yang naik mendadak menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan banyak barang berharga, menjadikan kerugian kali ini sukar untuk digambarkan.
Selain terpaksa membuang hampir semua barangan rumah yang telah rosak, mangsa turut berdepan dengan tugas berat untuk membersihkan lumpur tebal, sisa banjir, dan bau busuk yang menyelubungi kediaman mereka.
Meskipun keletihan, mereka tiada pilihan selain meneruskan hidup dan mencari jalan untuk membina semula apa yang telah hilang.
Ketika ini penduduk Bintulu hanya mampu berharap agar bantuan datang tepat pada waktunya, dan kejadian seburuk ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan. – TVS