KUCHING, 1 Feb: Malaysian Relief Agency (MRA) Cawangan Sarawak mengaktifkan dapur bencana bagi membekalkan makanan bermasak kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Kuching, Samarahan, Serian dan beberapa kawasan lain.
Pengarah Operasi Pengurusan MRA Sarawak, Hafizan Sunaini berkata, tindakan segera itu dibuat sebaik sahaja mereka mendapati ada bencana banjir yang melanda di negeri ini.
“Berdasarkan pengalaman yang kami ada, kami terus aktifkan bilik gerakan pada hari Rabu.
“Bilik gerakan ini kami gabungkan sekali dengan dapur bencana yang berfungsi untuk membekalkan makanan bermasak kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Menurut Hafizan setakat ini, operasi tertumpu di Kuching, namun MRA Sarawak sedang merancang untuk membuka lebih banyak dapur bencana bagi memastikan lebih ramai mangsa menerima makanan yang masih dalam keadaan panas.
“Kami ingin pastikan makanan yang disediakan adalah segar, panas dan mudah disediakan.
“Antara makanan yang kami bekalkan termasuk bubur lambuk, bubur ayam, dan sup yang sesuai dimakan dalam cuaca sejuk,” jelas Hafizan.
Selain membekalkan makanan, pasukan MRA Sarawak juga mengambil inisiatif untuk bertanya kepada mangsa mengenai keperluan lain yang mereka perlukan.
“Sekiranya ada keperluan lain yang boleh kami bantu, kami akan cuba sedaya upaya untuk menyalurkan bantuan,” tambahnya.
Dengan sokongan berterusan daripada orang ramai, MRA Sarawak berharap operasi dapur bencana ini dapat berjalan dengan lancar dan membantu meringankan beban mangsa banjir di Sarawak. – TVS