SERIAN, 1 Feb: Kerajaan Sarawak terus mempergiatkan lagi usaha untuk memantau situasi banjir yang melanda di wilayah ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya sebanyak 63 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di tujuh bahagian Sarawak bagi menempatkan 3,696 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada 12,692 mangsa setakat ini.
“Setakat ini, semua PPS beroperasi dengan lancar. Kami juga dimaklumkan terdapat dua orang tua yang sakit di sini pusat dan mereka sedang menerima rawatan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan di Serian.
Beliau turut menambah keadaan Kampung Merakai juga berada dalam pantauan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan bertindak dengan menghantar bekalan makanan kepada penduduk di kawasan tersebut.
Turut dipantau adalah kampung-kampung yang terputus hubungan.
“Bekalan makanan akan dihantar kepada mereka yang terjejas. Sekiranya kampung-kampung tersebut terjejas lebih teruk oleh banjir, mereka akan dipindahkan ke pusat pemindahan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai keadaan terkini, Uggah berkata tiada kampung baru yang dilaporkan terjejas dengan banjir di bahagian Serian. – TVS