KUCHING, 1 Feb: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam telah mengeluarkan amaran hujan berterusan di Sarawak yang dijangka berlanjutan sehingga hari ini, 1 Februari 2025.

Tujuh kawasan di Sarawak dijangka akan terus berlaku hujan berterusan membabitkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong) dan Mukah.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan sebahagian kawasan di tengah serta utara Sarawak pada pukul 4.10 pagi tadi.
Ia membabitkan kawasan Sibu, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu dan Miri (Subis, Miri dan Marudi) yang dijangka berlaku sehingga jam 9 pagi ini.
Semalam, Pengarah Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim mengesahkan bahawa cuaca di Sarawak dijangka beransur pulih bermula hari ini dan akan kembali seperti biasa dalam tempoh tujuh hari akan datang kerana tiada kejadian luruan Monsun yang kuat diramalkan dalam tempoh tersebut.
Katanya lagi, keadaan laut juga menunjukkan tanda pemulihan dengan ombak yang kembali ke tahap normal selepas beberapa hari bergelora akibat cuaca ekstrem.
Sehubungan itu, MetMalaysia menyarankan agar orang ramai untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi MetMalaysia.
Bukan itu sahaja, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia melalui 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – TVS