BINTULU, 1 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan penghargaan semua pihak dan agensi terlibat yang pantas menghulurkan bantuan mangsa banjir di seluruh negeri.
Beliau turut melahirkan kekaguman terhadap semangat kekitaan rakyat Sarawak yang turun membantu mangsa terjejas tanpa berbelah bahagi.
“Saya ucapkan terima kasih kepada sukarelawan, wakil rakyat yang turun padang dan jentera kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), BOMBA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi-agensi terlibat lain yang bekerja tidak mengenal masa.
“Saya juga menghargai sokongan dan bantuan daripada pihak swasta seperti Petronas, Petchem dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) kerana mempunyai satu semangat dalam membantu mereka yang memerlukan.
“Inilah budaya kita,” kata beliau pada majlis Jamuan Bersama Rakyat di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Abang Johari turut mengalu-alukan dan berterima kasih di atas bantuan daripada pihak swasta dalam membantu mangsa banjir.
“Saya turut mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada pihak swasta seperti Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Bintulu yang menderma RM600,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
“Saya percaya bantuan ini akan membantu mangsa yang terjejas akibat banjir,” ujar beliau.
Terdahulu, Abang Johari mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan meneliti kesan banjir bagi pemberian bantuan kepada mangsa banjir di wilayah ini.
Jelas beliau, bantuan berjumlah RM10 juta berkemungkinan akan ditambah sekiranya perlu selepas ini. -TVS