SHAH ALAM, 31 Jan: Polis Selangor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menahan dua lelaki tempatan pada 22 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dalam operasi itu, pihaknya berjaya merampas 30 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dipercayai digunakan sindiket untuk pasaran Miri, Sarawak.
“Pada 22 Januari 2025, jam lebih kurang 5.30 petang, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA telah menangkap dua lelaki tempatan yang masing-masing sedang menarik beg bagasi di terminal KLIA2.
“Pemeriksaan di dalam kedua-dua beg bagasi tersebut telah menemui 30 bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 30 kilogram (kg).
“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM967,000 dan dipercayai untuk dipasarkan ke Miri, Sarawak,” katanya.
Hussein Omar berkata, semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai empat dan satu rekod lampau.
Sementara itu, beliau berkata, pada 24 Januari lepas, polis berjaya merampas 31 kilogram (kg) dadah jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM96,000 di KLIA.
“Polis telah menahan seorang lelaki warganegara asing serta merampas dua beg bagasi berisi 31 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 30 kilogram (kg).
“Hasil siasatan mendapati suspek bekerja sebagai pegawai keselamatan di sebuah syarikat di luar negara. Semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Kata beliau, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hussein Omar berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah bagi kesemua kes itu berjumlah RM1,063,000. – TVS