SIBU, 31 Jan : Trup Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan (9 RS) di bawah kawalan operasi Op Murni bagi kawasan tanggungjawab (KTJ) Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) telah diatur gerak sebagai pasukan sokongan bagi membantu Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kawasan terjejas banjir di Bahagian Sibu.
Menurut pihak 9 Bgd, trup 9 RS berpusat di Bilik Gerakan APM Daerah Sibu bersama aset bantuan perairan dan kenderaan, telah dikerahkan ke Daerah Kanowit sejak 29 Jan lalu.
Operasi melibatkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu PPS Dewan Serbaguna Penghlu Seribu Ng Tada dan PPS Dewan Kompleks SUkan, Kanowit.
“Antara tugas utama trup yang diatur gerak termasuk membantu agensi tempatan meninjau paras air di dalam KTJ, memindahkan mangsa banjir ke PPS berdekatan serta menyalurkan sumbangan ke beberapa penempatan yang terputus hubungan akibat bencana banjir,” jelas pihak 9Bgd dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pegawai Memerintah 9 RS, Lt Kol Fathi Abu Bakar turut hadir melawat ke PPS Kompleks Sukan Kanowit terbabit.
Beliau menegaskan kepada trup agar segala aspek keselamatan dan kesihatan perlu diambil berat sepanjang membantu mangsa banjir.
“Selain itu, anggota juga dinasihatkan agar sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dan menghormati adat serta budaya penduduk setempat sepanjang melaksanakan tugas,” kata beliau menerusi kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, beliau juga mengadakaan lawatan ke Bilik Gerakan APM Daerah Sibu untuk menyelaraskan keperluan bantuan dan mendengar taklimat yang telah disampaikan oleh Kapt (PA) Yunus Ajol selaku wakil agensi APM berkaitan status semasa kawasan terjejas banjir di Bahagian Sibu. – TVS