KUALA LUMPUR, 31 Jan: Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Kakitangan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Mohd Nizam menggantikan PAT ke-22, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman yang bersara wajib hari ini selepas empat dekad berkhidmat bersama ATM.
Pelantikan Mohd Nizam menyaksikan beliau menjadi jeneral tiga bintang pertama yang dilantik sebagai PAT.
Majlis Pemakaian Pangkat disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Turut hadir pada majlis serah terima tugas tersebut ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asahar Khan Goriman Khan.
Untuk rekod, Jeneral Mohd Nizam yang merupakan graduan Royal Military Academy Sandhurst, England memulakan kerjaya ketenteraannya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai juruiring (aide-de-camp) kepada bekas Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali. – TVS