Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebuah bot polis mengumpul serpihan di sepanjang Sungai Potomac selepas penerbangan American Airlines 5342 dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Nasional Reagan terhempas ke dalam sungai selepas bertembung dengan helikopter Tentera AS, berhampiran Washington, DC, pada 30 Januari 2025. Foto AFP

Kotak hitam masih belum ditemukan, penyiasat masih meneliti perlanggaran udara di AS

ByBernama

WASHINGTON, 31 Jan: Penyiasat masih belum menemukan perakam data penerbangan daripada pesawat dan helikopter tentera yang terlibat dalam perlanggaran maut di udara berhampiran ibu negara Amerika Syarikat (AS), Washington DC, lapor Agensi Anadolu (AA) dengan memetik kenyataan pegawai pada Khamis.

“Kami tahu ia ada di sana. Ia berada di dalam air. Ini bukan perkara luar biasa bagi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB). Kami telah banyak kali menemukan perakam data penerbangan di dalam air,” kata Pengerusi NTSB Jennifer Homendy dalam satu taklimat di Reagan National Airport (DCA), Washington.

NTSB ialah agensi penyiasatan kerajaan bebas yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan pengangkutan awam.

Pada Rabu malam, sebuah pesawat penumpang American Airlines dan helikopter Black Hawk milik Tentera Darat AS bertembung di udara berhampiran lapangan terbang itu.

Pesawat tersebut, yang membawa 60 penumpang dan empat anak kapal, sedang dalam perjalanan dari Kansas. Helikopter itu pula, yang sedang dalam penerbangan latihan, membawa tiga anggota tentera.

Kedua-dua pesawat itu terhempas ke dalam Sungai Potomac.

Presiden AS Donald Trump pada Khamis mengesahkan bahawa tiada yang terselamat dalam nahas itu ketika pihak berkuasa meneruskan siasatan bagi mengenal pasti puncanya.

Homendy berkata agensinya akan memberi ruang kepada pasukan penyelamat untuk menjalankan misi pemulihan sebelum memulakan penyiasatan terhadap perlanggaran udara itu.

Beliau berkata Khamis merupakan hari pertama lembaga itu mempunyai pasukan penuh di lokasi kejadian, sambil menambah bahawa “kami membenarkan pasukan penyelamat menjalankan misi keselamatan mereka yang penting, iaitu mencari dan menyelamat serta pemulihan. Kami akan berundur bagi memberi laluan kepada mereka.”

Homendy turut meminta masa untuk agensi itu mengesahkan fakta ketika ia menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca perlanggaran.

“Bukan kami tidak mempunyai maklumat. Kami mempunyai maklumat, kami mempunyai data. Kami memiliki jumlah maklumat yang banyak. Namun, kami perlu mengesahkannya. Kami perlu mengambil masa untuk memastikan ketepatannya,” katanya.

Beliau berkata agensi itu akan meneliti aspek “manusia, mesin dan persekitaran” bagi menentukan punca perlanggaran tersebut.

“Kami akan melihat semua individu yang terlibat dalam nahas ini,” tambahnya.

Ahli lembaga NTSB Todd Inman berkata matlamat agensi itu adalah untuk mengeluarkan laporan awal mengenai punca perlanggaran dalam tempoh 30 hari.

“Pasukan penyiasatan kami akan berada di lokasi selagi diperlukan bagi mendapatkan semua bukti sementara serta fakta-fakta yang diperlukan untuk membuat kesimpulan tentang punca kemungkinan nahas ini,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa pesawat itu mengalami hentaman yang sangat pantas dan berimpak tinggi selepas nahas berlaku.

“Ketika ini, kami sedang meneliti kawasan serpihan. Tiada apa yang kami lihat menunjukkan bahawa gelongsor atau peluncur kecemasan telah digunakan,” tambahnya.

Inman juga berkata pihak berkuasa masih belum menemukan sebarang kotak hitam dari pesawat itu.

“Kami mungkin akan menemukan lebih daripada satu kotak hitam. Kami difahamkan bahawa helikopter Sikorsky itu dilengkapi dengan beberapa peranti rakaman,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan