SERIAN, 31 Jan: Kementerian Kesihatan (KKM) menempatkan seorang doktor atau petugas kesihatan di setiap pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak bagi memastikan kesihatan dan kebajikan mangsa banjir terus terjaga.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pasukan perubatan di PPS sentiasa bersedia memberikan rawatan dan pemantauan kesihatan serta memastikan bekalan ubat mencukupi kepada golongan yang memerlukan.
“Kita juga meminta ketua di setiap PPS untuk segera mengenal pasti jika terdapat mangsa yang berpindah mengalami demam atau sebarang gejala penyakit. Dengan ini, pihak perubatan dapat mengambil tindakan segera.
“Pada masa ini, kita masih belum mengetahui jenis penyakit yang mungkin timbul. Oleh itu, saya berharap semua jabatan kebajikan serta agensi yang bertanggungjawab terus menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan kesihatan mangsa banjir sentiasa terjaga,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian pada sidang media di Dewan Masyarakat Serian, di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua mangsa banjir di Sarawak.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan haiwan peliharaan, beliau berkata, haiwan peliharaan adalah dilarang untuk dibawa ke PPS.
“Kita tidak membenarkan haiwan dibawa ke PPS kerana dikhuatiri boleh membawa penyakit. Saya yakin setiap keluarga yang terlibat akan menguruskan perkara ini dengan baik.
“Saya faham dari mana datangnya soalan ini, memandangkan ada orang yang berpindah bersama haiwan peliharaan mereka. Namun, setakat hari ini, saya tidak melihat anjing atau kucing di PPS ini. Ia menunjukkan bahawa pemilik haiwan telah meletakkan mereka di tempat yang selamat,” ujarnya.
Terdahulu, Uggah melawat PPS Dewan Masyarakat Serian dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah bagi meninjau keadaan serta memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga di kedua-dua pusat berkenaan. – TVS