SHAH ALAM, 31 Jan: Polis Selangor berjaya menumpaskan sindiket pengeluaran wang tunai dengan menggunakan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) ‘akaun keldai’ di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, enam individu telah diberkas termasuk seorang warganegara Vietnam dengan pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM200,000.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berbangsa Cina dan seorang wanita warganegara Vietnam.
“Dalam tangkapan itu, polis juga telah merampas sebanyak 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM200,000 dan 122 keping kad ATM pelbagai bank yang dipercayai digunakan oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti penipuan atas talian,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein Omar berkata, siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan sindiket terbahagi kepada tiga dengan mereka akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan semua arahan akan disampaikan melalui Group Telegram dan WhatsApp terlebih dahulu sebelum menerima kad-kad ATM daripada ‘runner’.
Tambahnya, ahli sindiket kemudiannya akan mengeluarkan wang tunai melalui mesin-mesin ATM di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan kad ATM tersebut.
“Setiap hari, ahli sindiket dikehendaki mengeluarkan wang tunai melalui mesin ATM sehingga mencapai sasaran RM 200,000.
“Kemudian wang tunai tersebut akan diserahkan kepada ‘runner’ atau 34 ahli sindiket yang lain untuk pelbagai tujuan penipuan termasuk pembelian mata wang digital (USDT),” ujarnya
Beliau memberitahu, siasatan dijalankan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan atau denda atau ketiga-tiganya,” jelasnya. – TVS