SHAH ALAM, 31 Jan: Ketua sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antara tujuh individu yang akan didakwa dalam masa terdekat selepas memakai pakaian istiadat mirip ketenteraan dalam satu majlis, awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan, Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Siasatan telah dijalankan dan 40 individu telah diambil keterangan dengan polis telah merampas 18 helai pakaian bersama lencana atau lambang serta aksesori pada pakaian tersebut.
“Hasil siasatan mendapati majlis tersebut telah dianjurkan oleh seorang individu dari sebuah pertubuhan yang berlangsung di sebuah hotel di Sungai Buloh.
“Pakaian milik individu yang dirampas merupakan pakaian yang ditempah oleh individu yang hadir pada majlis tersebut dan oleh ahli pertubuhan,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan mendapati pertubuhan tersebut adalah berdaftar, namun begitu lambang yang digunakan pada pakaian adalah tidak sama seperti yang didaftarkan dengan aksesori yang dipakai menyerupai pakaian beruniform.
Pada 4 Januari lalu, media tempatan dilaporkan berkata polis sedang mengesan beberapa individu yang tular mengenakan pakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat ketenteraan ketika menghadiri satu majlis dipercayai anjuran sebuah pertubuhan. – TVS