SERIAN, 31 Jan: Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana banjir di Sarawak kerana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sedang mengawal situasi semasa dengan rapi, tegas pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Timbalan Premier Sarawak itu meyakini bahawa agensi-agensi yang terlibat telah dikerahkan untuk menangani situasi banjir di Sarawak dan sedang menjalankan operasi pemantauan serta bantuan secara menyeluruh.
“Kita menggunakan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang pertama yang mewajibkan semua agensi kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dengan JPBNS.
“Sebelum ini, pada bulan November kita sudah memberitahu mengenai jentera yang dimiliki oleh tentera dan polis seperti lori dan tenaga kerja yang tersedia untuk berada dalam keadaan siap siaga (bagi menghadapi banjir).
“Tidak ada lagi persoalan, semua pihak akan segera bertindak,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Serian dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, di sini, hari ini.
Menurut Uggah, kerjasama semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama JPBNS memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan, proses pemindahan mangsa dan penyampaian bantuan berjalan lancar.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap sebarang kemungkinan serta mengingatkan penduduk supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS sekiranya diarahkan.
“Malam ini, air pasang besar akan mencapai paras tertinggi tetapi hujan yang turun kelihatan tidak terlalu lebat. Namun, apa pun keadaannya, pasukan penyelamat kami telah bersedia sepenuhnya di setiap lokasi untuk membantu pasukan sokongan,” jelasnya lagi. – TVS