KUCHING, 31 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak mengatur gerak sebuah helikopter AW139 bagi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di pedalaman daerah Bintulu dan Tatau.
Misi Pasukan Gerakan Udara PDRM Kontinjen Sarawak itu melibatkan empat kru yang diketuai Superintenden Awang Hasbullah, DSP Aris Hadi, Sub-Inspektor Rojos dan SM Chelodi dimulakan pada Khamis, 30 Jan.
Menurut satu hantaran di Facebook Polis Sarawak sebentar tadi Operasi Banjir 2025 dengan mengatur gerak unit udara terbabit diaktifkan sejak semalam dan akan berterusan mengikut keperluan semasa.
“Dalam situasi banjir yang melanda di Sarawak ketika ini pasukan penyelamat PDRM antara agensi yang berusaha gigih untuk menyalurkan bantuan demi kesejahteraan masyarakat dan menjaga keselamatan awam,” catat hantaran terbabit.
Sementara itu, satu hantaran Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mendedahkan kekuatan anggota dan pegawai polis diselaraskan dalam menangani banjir di Sarawak adalah seramai 1,406 orang setakat ini.