MIRI, 31 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM10 juta akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi mempertingkatkan usaha menangani bencana banjir yang melanda ketika ini.
“Jadi pihak kerajaan menambah peruntukan kepada JPBNS sejumlah RM10 juta untuk pihak mereka membantu semua kawasan yang terjejas dan mungkin juga ada yang memerlukan untuk pembinaan semula (dan) pembaikan.
“Kita memang ada menyediakan peruntukan untuk JPBNS tetapi ini merupakan peruntukan tambahan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah, Miri pada Jumaat.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas peruntukan yang disalurkan kepada Sabah dan Sarawak sebanyak RM24 juta. -TVS