SERIAN, 31 Jan: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memuji tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak membaik pulih Jalan Sipan-Temalat di daerah Song susulan sebelum ini terjejas beberapa hari lalu akibat banjir.
“Kami berbesar hati dan berterima kasih kepada JKR yang telah berjaya membaik pulih Jalan Temalat (di Song) dalam Bahagian Kapit. Mereka berjaya memulihkan jalan dalam tempoh hanya enam jam.
“Inilah semangat pegawai-pegawai JKR kita dalam memastikan jalan-jalan yang terputus dapat dipulihkan secepat mungkin. Ia agak mencabar, tetapi kita sangat gembira kerana mereka telah berjaya membaik pulih jalan,” kata beliau.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian pada sidang media di Dewan Masyarakat Serian, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memohon agar JKR Sarawak turut menyegerakan kerja-kerja membaik pulih jalan raya lain yang turut rosak dalam banjir kali ini.
Menurut beliau usaha itu bagi memastikan kelancaran pergerakan penduduk serta mengelakkan gangguan terhadap akses ke kawasan terjejas selain memastikan infrastruktur jalan raya dapat dipulihkan dengan segera, khususnya di kawasan yang terputus hubungan akibat kerosakan jalan.
“Kita telah mengenal pasti 148 lokasi yang terjejas akibat banjir, di mana 75 daripadanya mengalami hakisan di sepanjang jalan raya dan tiga lagi menjejaskan struktur saluran air serta persimpangan jalan.
“Terdapat juga empat lokasi terjejas di Lebuhraya Pan Borneo, termasuk di Ranchan. Oleh itu, JKR telah diarahkan untuk sentiasa bersiap siaga, bukan sekadar itu, tetapi juga untuk bertindak dengan kadar yang segera,” katanya.
Selain itu, Uggah turut menggesa penduduk untuk sentiasa berhati-hati ketika menggunakan jalan raya, terutama di kawasan yang masih dalam proses pemulihan.
Terdahulu, Uggah melawat ke PPS Dewan Masyarakat Serian dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah bagi meninjau keadaan serta memastikan kebajikan mangsa banjir dalam keadaan baik di kedua-dua pusat berkenaan. – TVS