MIRI, 31 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan tinjauan ke lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, di sini, hari ini.
Beliau telah diperdengarkan taklimat berhubung keadaan semasa oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi.
Terdahulu, beliau turut meluangkan masa menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terselamat iaitu Arabi Samsudin, Nur Irsalina Syahirah, dan Massahan Mustafa di Hospital Miri.
Dalam lawatan ke Bandaraya ini, Abang Johari turut meneruskan kunjungan sempena Tahun Baru Cina ke beberapa kediaman pemimpin di sini.
Kunjungan mesra itu dimulakan ke kediaman Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting, dan berakhir di kediaman tokoh perniagaan, Tan Sri Ling Chiong Ho.
Selain itu, beliau turut menunaikan solat Jumaat dan solat hajat di Masjid At-Taqwa, Miri yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Imam Bahagian Miri, MIS Sharafuddin Suaut.
Malam ini beliau dijadualkan menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Bahagian Miri. – TVS