KUCHING, 31 Jan: Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Sarawak meningkat kepada 9,948 mangsa daripada 2,807 keluarga setakat jam 8 pagi tadi.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sebanyak 58 PPS masih aktif menempatkan mangsa banjir di seluruh Sarawak.
“Sebanyak enam bahagian di seluruh Sarawak terjejas akibat banjir setakat ini,” menurut kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan tersebut, Miri mencatatkan kejadian tanah runtuh dengan dua PPS turut dibuka.
Selain itu, Kanowit pula menyaksikan kebakaran berlaku dengan satu PPS dibuka untuk menempatkan mangsa.-TVS
Sekretariat JPBN Sarawak memaklumkan data mangsa masih dalam proses kemas kini dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-TVS