KUCHING, 30 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan kunjungan ke kediaman Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii hari ini sempena sambutan hari kedua Tahun Baru Cina.
Persembahan tarian singa menyambut ketibaan Abang Johari yang turut diiringi Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi sekitar 11:55 pagi tadi.
Lawatan mesra ini mencerminkan semangat muhibah dan keharmonian antara pemimpin Sarawak, khususnya dalam menyantuni masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Selain memperkukuh hubungan antara pemimpin, kunjungan sebegini juga menjadi wadah untuk mendengar serta memahami lebih dekat aspirasi rakyat.
Sambutan yang penuh mesra ini turut mencerminkan kepelbagaian budaya Sarawak, dengan elemen kebudayaan Cina seperti tarian singa menjadi sebahagian daripada acara penghormatan kepada ketibaan pemimpin utama Sarawak.
Kehadiran masyarakat setempat yang turut serta dalam majlis tersebut menggambarkan keakraban serta sokongan padu terhadap kepimpinan sedia ada.
Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan mesra Premier Sarawak bagi mengukuhkan perpaduan antara pemimpin dan rakyat, sejajar dengan visi Kerajaan Sarawak untuk memastikan kesejahteraan dan kemajuan Sarawak yang inklusif serta mampan. – TVS