MIRI, 30 Jan: Salah seorang jiran kepada mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Lereng Bukit Miri di sini berkongsi detik terakhir bersama salah seorang mangsa sebelum tragedi pada awal pagi Rabu lalu.
Mariana Abdul Rani, 61, yang tinggal berhampiran rumah mangsa, mendedahkan antara mereka sebelum kejadian malang itu berlaku.
“Saya pernah bertanya kepadanya jika dia bercadang untuk berpindah, tetapi dia menjawab tidak, kerana katanya kawasan ini baik dan selamat,” katanya ketika ditemui TVS di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Persatuan Bulan Sabit Merah Miri, hari ini.
Mariana turut menceritakan bahawa dia sendiri telah berpindah lebih awal sebelum kejadian tanah runtuh itu berlaku.
“Saya sudah berpindah ke tempat lebih selamat pada tengah hari sebelum tragedi itu berlaku,” ujarnya.
Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu dengan arwah, mereka sempat melambai antara satu sama lain sebelum beliau berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Dia melambai kepada saya, dan saya sempat mengucapkan terima kasih serta mendoakan keselamatan kami,” katanya dalam nada sayu.
Mariana juga meluahkan rasa pilu apabila mengenangkan nasib kampung halamannya di Lereng Bukit Miri selepas proses pemindahan selesai.
“Saya sudah kehilangan ibu bapa, adik-beradik juga tiada, suami telah meninggal dunia, manakala anak-anak saya berada jauh kerana bekerja dan belajar,” katanya lagi.
Walaupun diuji dengan pelbagai dugaan, Mariana tetap bertegas mahu terus menetap di kampung tersebut kerana ia merupakan peninggalan pusaka keluarganya. – TVS