MIRI, 30 Jan: Jenazah lima sekeluarga yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh Kampung Lereng Bukit, di sini selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pujut 5, di sini sekitar jam 6 petang tadi.

Terdahulu, solat jenazah disempurnakan dan diimankan oleh Imam 1 masjid, Jumaidi Naha di Masjid At-Taqwa Miri.
Dapat disaksikan masjid dan tanah perkuburan di sini dibanjiri oleh ahli keluarga dan sahabat handai korban bagi memberi penghormatan terakhir dan menghantar jenazah ke ‘negeri abadi’ petang ini.
Tragedi duka pada awal pagi Rabu itu telah meragut lima nyawa sekeluarga sekali gus dianggap sebagai tanah runtuh terburuk di Miri. – TVS