KUCHING, 30 Jan: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini mengumumkan bantuan berjumlah RM50,000 akan disalurkan kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku di Kampung Lereng Bukit, Miri pada awal pagi Rabu lepas.
“Untuk keluarga mangsa yang terkorban, kerajaan akan salurkan bantuan RM10,000 bagi setiap seorang mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa mengadakan tinjauan di Pusat Permindahan Sementara (PPS) SJK Chung Hua Batu Kawa.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan kesejahteraan Wanita Dato Sri Fatimah Abdullah memaklumkan pihaknya turut memberikan bantuan secara psikologi seperti sokongan dari segi emosi keluarga yang terkesan.
“Bantuan untuk mangsa banjir dan tanah runtuh yang melibatkan kehilangan nyawa, kami akan membantu mereka mengendalikan emosi. Ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bencana.
“Bagi keluarga yang selamat, kita tahu ianya satu musibah dan berat ditanggung oleh mereka, maka di bawah kementerian kita ada kaunselor yang akan beri khidmat kaunseling,” katanya.
Terdahulu, tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit telah mengorbankan lima mangsa iaitu Sazarena Arabi, 41, Fatimah Dawi, 71, Irsyad Syairah, 16, Nur Raisyah Syahirah, 8, dan Nur Rania Syafiqah, 11.
Semua mangsa tinggal serumah dan dua lagi penghuni rumah berkenaan iaitu Nur Irsalina Syairah, 17, mengalami kecederaan patah kaki kanan dan sedang menerima rawatan, manakala Arabi Samsudin, 71, tidak mengalami kecederaan.
Lima sekeluarga yang tinggal di sebuah lagi rumah terbabit dalam insiden itu terselamat iaitu Muhammad Mahmud, 60, Nur Athirah Nabinah, 29, Nur Afiqah 29, dan Nur Aqilah Nadirah, 18, manakala Massahan Mustafa, 58, cedera ringan di kaki kiri.- TVS