KUCHING, 30 Jan: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas memohon orang awam atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin memberi bantuan kepada mangsa bencana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menyalurkannya kepada Sekretariat JPBNS terlebih dahulu.
Peringatan Timbalan Premier Sarawak itu bagi memastikan pengurusan bantuan dilakukan berjalan dengan lancar, sistematik dan mengelakkan sebarang kekeliruan.
“Terdapat NGO yang mahu memberikan derma. Derma tersebut mesti melalui Sekretariat JPBNS.
kalau di Bintulu hantar kepada pejabat residen iaitu sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana.
“Kita tidak membenarkan sesiapa sahaja NGO untuk menghantar terus bekalan ke pusat pemindahan sementara kepada masyarakat. Ini akan mengelirukan kita. Kita mahu mengkoordinasikan ini agar ianya dapat dihantar secara teratur,” kata beliau.
Turut senada, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sambil menyifatkan penyerahan bantuan kepada agensi berkaitan terlebih dahulu dapat memudahkan urusan pengagihan sumbangan terbabit selain memastikan barangan yang disalurkan dapat digunakan sebaiknya bagi mengelakkan pembaziran.

“Lebih baik berhubung melalui agensi kerajaan sebab kalau tidak ia nya (bantuan) akan kelam kabut. Kita tidak mahu perkara berulang iaitu ada orang membeli barang untuk mereka (mangsa) tetapi tidak dapat dipakai dan akhirnya dibuang.
“Perlu berhubung dan bekerjasama dengan jabatan yang ada di sini supaya mereka boleh memantau apa sahaja barang yang diberi supaya tempat ini (PPS) tidak menjadi tempat buangan barang,” katanya.
Terdahulu, Uggah dan Nancy melawat mangsa di PPS Dewan Haji Kamaruddin Bin Ahmad Kampung Segedup pada Khamis. – TVS