KUCHING, 30 Jan: Projek menaik taraf takungan air di Batu Kitang yang menelan kos berjumlah RM5 juta dijangka siap pada tahun hadapan, kata Dato Lo Khere Chiang.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang itu projek terbabit merupakan inisiatif kerajaan untuk membekalkan air kepada penduduk di kawasan sekitarnya.
Khere Chiang memberitahu Lembaga Air Kuching akan meningkatkan tekanan tangki loji air terbesar di Batu Kitang berikutan kawasan Kampung Bunga Rampai dilaporkan kekurangan bekalan air.
“Ada satu loji rawatan air yang terbesar di Batu Kitang, Lembaga Air Kuching akan meningkatkan tekanan tangki loji air untuk Kampung Bunga Rampai sebab sekarang kampung tersebut tekanan air tidak mencukupi.” katanya ketika ditemui media di kediamannya pagi tadi.
Khere Chiang Mendedahkan rawatan air tersebut akan dinaik taraf daripada 780 juta Liter Harian (MLD) kepada 884 juta Liter Harian (MLD).
Tambahnya kapasiti yang dinaik taraf itu dapat menangani peningkatan permintaan air di Samarahan, khususnya di Samarindah, kawasan Batu 7, Kampung Parang, termasuk Kampung Baru, dan kawasan lain di bawah Lembaga Air Kuching.
”Usaha ini termasuk sistem bekalan air di Bandaraya Kuching, menyasarkan baik pulih secara meluas yang telah bermula pada tahun lepas.
“Lembaga Air Kuching telah sedia membeli tanah disana, tapak sudah disediakan. Penaiktarafan itu dijangka siap 2026, kita akan menyelesaikan isu-isu air bertekanan rendah yang bukan di Kampung Bunga Rampai sahaja, malah di sekeliling Kampung Bunga Rampai” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Sarawak yang menyambut Tahun Ular 2025. – TVS