KAJANG, 30 Jan: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas disyaki menjadi mangsa dera oleh ibu bapanya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner (ACP) Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di zon merah wad kecemasan Hospital Kajang, semalam selepas dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibu bapanya.
“Bedah siasat telah dijalankan pada pukul 12.30 tengah hari semalam (29 Januari) di unit forensik Hospital Kajang dan mendapati terdapat banyak kesan dera lama dan baharu pada mangsa.
“Punca kematian disebabkan oleh kecederaan di perut akibat objek tumpul,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, susulan itu polis telah menahan ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan dan akan direman di Mahkamah Kajang, hari ini.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -TVS.