SEPANG, 29 Jan: Tourism Malaysia (TM) akan mengadakan lebih banyak acara promosi pelancongan di rantau ini bagi memanfaatkan kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung berkata, TM akan mengadakan libat urus bersama negara-negara ASEAN menerusi mesyuarat ASEAN + 3.
“Kita (TM) juga akan menganjurkan pameran dan persidangan berkaitan dengan perdagangan dengan kerjasama bersama Tourism Malaysia dan MYCEB untuk melaksanakan apa yang kita panggil pelancongan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Keraian Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai majlis itu, Thai Hung berkata, ia merupakan salah satu kaedah promosi Tourism Malaysia dengan mempamerkan keunikan sambutan perayaan di negara ini kepada pengunjung luar.
“Kita (TM) mahu pelancong luar menikmati sambutan perayaan di Malaysia dan seterusnya menguar-uarkannya kepada rakan-rakan mereka untuk berkunjung ke negara ini.
“Tourism Malaysia akan ajurkan lebih banyak festival perayaan di sini (KLIA), dengan yang paling hampir ialah Hari Raya Aidilfitri. Tujuannya untuk kita tonjolkan kemeriahan perayaan kita kepada pelancong luar,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, TM menyasarkan kehadiran pelancong luar seramai 38 juta tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
“Pada 2024 Tourism Malaysia telah mencapai sasaran yang dimahukan. Tahun ini kita optimis dapat mencapai sasaran tersebut melalui pelbagai kaedah yang akan dilaksanakan oleh kita bersama MOTAC,” ujarnya.
Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memberitahu bahawa TM akan mengkaji semula sasaran awal 36 juta pelancong tahun ini selepas melepasi angka 38 juta pada 2024. – TVS