KUCHING, 29 Jan: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi memulakan siri kunjungan rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2025 ke kediaman beberapa tokoh tempataan di Kuching hari ini.
Usai menyerikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 peringkat Sarawak anjuran Kerajaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching (BCCK) kira-kira 9:40 pagi tadi, Tun Dr Wan Junaidi serta isteri berkunjung ke rumah terbuka anjuran mantan Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri JC Fong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut mengiringi Tun Dr Wan Junaidi dan isteri ke Hotel Waterfront, Kuching yang disambut JC Fong serta isterinya, Datin Sri Annie Fong sekitar jam 11.15 pagi tadi.
Turut mengiring antaranya Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) serta Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Ketibaan Tun Dr Wan Junaidi serta pemimpin-pemimpin Kerajaan Sarawak disambut meriah dengan persembahan tarian singa daripada Kumpulan Singa Kuching Kwong Wai Siew dan kemudiannya menyempurnakan upacara menggaul ‘Yee Sang’ bersama-sama lebih 200 tetamu jemputan.
Tun Dr Wan Junaidi serta isteri mengambil kesempatan meluangkan masa bagi mengeratkan silaturrahim antara kedua-dua tokoh pemimpin Sarawak itu selama satu jam sebelum berangkat ke rumah terbuka sahabat handainya lain.
Kemudiannya, Abang Johari serta isteri berkunjung ke rumah terbuka anjuran Pengarah Urusan Plaza Merdeka Holdings, Dato Steve Ng Thian Yew. – TVS