KUCHING, 29 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menyerikan rumah terbuka Pengarah Urusan Plaza Merdeka Holdings, Dato Steve Ng Thian Yew sempena Tahun Baru Cina hari ini.
Ketibaan Abang Johari dan isteri pada 12:30 tengah hari tadi disambut Steve Ng beserta keluarga, kemudian menyaksikan persembahan tarian singa.
Turut mengiring, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Hasan.
Majlis turut dimeriahkan dengan Abang Johari dan isteri menyempurnakan upacara menggaul “Yee Sang” sebagai simbolik kemakmuran dan kebahagian sebelum menjamu selera.
Terdahulu, Abang Johari turut mengunjungi Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pagi tadi.
Beliau meneruskan kunjungannya ke kediaman Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Kuching (KCGCCI) selepas meninggalkan kediaman Steve Ng pada pukul 1:35 tengah hari tadi. – TVS