MIRI, 29 Jan: Inisiatif mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir serta tanah runtuh di Bandaraya ini dipergiatkan oleh pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini.
Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad berkata, jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semakin meningkat, khususnya di kawasan Pujut dan Tanjung Batu yang dilaporkan paling terjejas akibat banjir.
“Terdapat juga mangsa yang terkesan akibat tanah runtuh, terutama di kawasan Lereng Bukit. Kedua-dua kategori mangsa ini termasuk dalam penerima bantuan yang disalurkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Menurutnya keperluan bantuan sedang diselaraskan bagi mengelakkan duplikasi dan memastikan setiap sumbangan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Keutamaan diberikan kepada barang-barang yang amat diperlukan oleh mangsa di PPS bagi memastikan tiada pembaziran dan setiap sumbangan digunakan dengan sebaiknya,” katanya lagi.
Untuk rekod antara NGO terlibat adalah Persatuan Belia Miri yang berjaya meraih sumbangan berjumlah RM7,000 daripada orang awam.
Hasil sumbangan itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan yang telah dikenal pasti sebagai keperluan mendesak di PPS. – TVS