KUCHING, 28 Jan: Kerajaan negeri bersetuju untuk menubuhkan Yayasan Wakaf Sarawak sebagai sebuah institusi yang akan menguruskan pelaksanaan sistem wakaf bagi memastikan tiada aset umat Islam di negeri ini terabai khususnya melibatkan tanah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembentangan berhubung penubuhan institusi itu mendapat persetujuan ahli-ahli Kabinet dan pada masa sama, ia turut memenuhi sebahagian daripada syariat Islam.
“Saya mahu menceritakan pengalaman saya, di mana ada seseorang ingin mewakafkan tanah untuk membina surau. Namun, sebelum dia meninggal, tanah yang diwakafkan itu tidak sempat didaftarkan, hanya disebut secara mulut (lisan) sedangkan surau sudah mula dibina.
“Jadi, apabila dia meninggal, warisnya menarik balik untuk membina surau kerana harga tanah di situ semakin meningkat. Apakan daya, ia tidak didaftarkan. Oleh itu, saya kata sebagai orang Islam, apabila sesuatu perkara sudah diwakafkan, tidak boleh ditarik balik.
“Walaupun mungkin dengan ada had masa tetapi jika hendak mengerjakan wakaf, maka wakaf sahajalah. Dengan itu, kita daftar dan ia akan menjadi hak yang akan diuruskan oleh pihak Pusat Amanah Wakaf,” kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Perdana pada Majlis Kesyukuran Agensi-Agensi Islam Sarawak Tahun 2025/1446H, di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, melalui pelaksanaan sistem wakaf itu juga akan berfungsi memberikan dakwah secara langsung dan tidak langsung kepada masyarakat yang bukan Islam.
“Jadi, rakan kita (bukan Islam) ada bertanya, adakah beliau juga dapat melakukan perkara seperti wakaf tersebut, ini kerana mereka faham dengan konsep wakaf itu, jadi mereka pun mahu turut serta.
“Oleh itu, saya kata, boleh apa salahnya anda melakukan perkara itu (wakaf), dengan syarat, anda semua mesti tahu mengenai hukum-hukum dan juga cara pengurusannya,” ujar beliau.
Terdahulu, Abang Johari turut menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak serta solat sunat hajat secara berjemaah.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin. – TVS