Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tinjauan banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJK Chung Hua Batu Kawa hari ini. Foto TVS

Banjir: Mangsa di Batu Kawa dijangka meningkat

ByAsmah Adenan

KUCHING, 29 Jan: Jumlah mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJK Chung Hua Batu Kawa dijangka meningkat berikutan hujan berterusan sejak pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, PA Mohtar Samat berkata, setakat ini, seramai 155 penduduk dari Kampung Rantau Panjang dan Kampung Tengah Sungai telah dipindahkan ke PPS SJK Chung Hua Batu Kawa.

“Berdasarkan keadaan cuaca hari ini, mungkin bilangan mangsa akan bertambah dan kita baru saja mendapat maklum bahawa Kampung Tengah Sungai tidak terlibat semuanya.

“Jika hujan berterusan dan keadaan paras air naik, ini boleh menyebabkan beberapa buah rumah di Kampung Tengah Sungai dan juga Kampung Rantau Panjang akan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS semasa tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJK Chung Hua Batu Kawa, hari ini.

Selain itu katanya, agensi kesihatan juga terlibat sama turun padang bagi melawat ke PPS untuk membuat pemeriksaan awal terhadap warga emas dan kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan awal sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini, orang-orang kampung memberikan kerjasama dan agensi-agensi terlibat termasuk Pejabat Daerah, pihak Polis, pihak Rela, pihak Bomba dan semua agensi kesihatan telah memberikan kerjasama yang baik atas penyediaan PPS di Batu Kawa ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak melakukan sebarang aktiviti berisiko seperti bermain atau meredah banjir demi keselamatan.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Tengah Sungai, Mohamad bin Jukit, 59, menzahirkan penghargaan terhadap bantuan yang diterima.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang membantu menyalurkan sumbangan kepada kami serta menjaga kebajikan kami di PPS ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamad bin Kawi, 57, turut berkongsi pengalamannya selepas diberikan kebenaran untuk berpindah ke PPS pada jam 10 malam tadi.

“Air memang dah naik sejak petang semalam, tetapi kami mendapat kebenaran untuk berpindah ke PPS pada jam 10 malam.

“Setakat ini, bantuan yang diberikan daripada pelbagai pihak adalah mencukupi,” katanya.

Seorang lagi penduduk warga emas, Harun bin Mohamad, 78, pula berkongsi kisahnya menghadapi banjir pada tahun 2014 yang menyebabkan kerosakan teruk pada hartanya.

“Tahun 2014, banjir yang paling teruk dihadapi kami. Untuk nak ambil dokumen-dokumen penting, kami terpaksa membuka atap rumah.

“Itulah pengalaman banjir yang saya rasa paling teruk dirasai,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan