KUCHING, 29 JAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama agensi berkaitan telah menggerakkan bantuan segera, termasuk keperluan asas dan sokongan psikososial kepada semua mangsa yang terkesan bencana banjir di seluruh Sarawak, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu mengingatkan agar semua pihak yang terjejas mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Kepada mereka yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan melalui JKM atau pertubuhan yang diiktiraf.
“Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau pejabat JKM berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Nancy mendedahkan lebih 1,097 mangsa banjir kini ditempatkan di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah di Sarawak, termasuk Kuching, Serian, Bintulu, Miri, Siburan, Tatau, Bau, dan Simunjan.
Menurutnya, daerah Serian mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, dengan 374 orang berlindung di enam PPS.
“Berat hati saya melihat keadaan banjir yang sedang melanda di Sarawak, daerah Serian mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 374 orang di 6 PPS. Lebih 1,097 mangsa telah ditempatkan di 14 PPS,” ujarnya. -TVS