BINTULU, 29 Jan: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menyeru semua pihak untuk bersatu padu dalam membantu mangsa banjir yang terjejas di sini.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut mengharapkan bantuan segera dan tindakan pantas disalurkan kepada mangsa bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk yang terkesan akibat banjir dalam keadaan baik.
Terdahulu beliau turut turun padang bersama pasukan penyelamat serta agensi berkaitan berusaha sedaya upaya untuk membantu mangsa banjir dalam apa jua keadaan.
“Dalam masa yang sukar ini, marilah kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain. Saya dan pasukan saya, serta semua agensi berkaitan, akan melakukan yang terbaik untuk membantu semua orang.
“Bertabahlah, sahabat-sahabat tersayang. Saya tahu ia bukan mudah. Bertahanlah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.- TVS