KUCHING, 29 Jan: Bencana banjir yang melanda Bintulu ketika ini semakin membimbangkan hingga beberapa buah syarikat di kawasan perindustrian terpaksa menghentikan pengoperasian, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau tindakan sedemikian bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan sebarang risiko berbahaya menimpa para pekerja.
“Pihak pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak kini berada di Miri dan Bintulu bagi menilai serta memantau perkembangan terkini di kawasan yang terjejas”, kata Abang Johari ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina 2025 di kediaman tokoh perniagaan, Dato Goh Leng Chua di Jalan Tan Sri Datuk William Tan di sini, malam ini.

Abang Johari mendedahkan lagi langkah tersebut bertujuan untuk memastikan tindakan segera dapat diambil, termasuk dalam aspek pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta penyediaan bantuan yang diperlukan.
Tambah beliau lagi pihak berkuasa juga sedang meneliti keadaan cuaca dan paras air bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin, selain membantu memulihkan kembali operasi syarikat yang terpaksa ditutup akibat bencana ini. – TVS