BINTULU, 28 Jan: Keadaan banjir yang semakin memburuk di Bintulu memberi pelbagai cabaran kepada pasukan penyelamat, khususnya pihak bomba yang berdepan dengan kesukaran menyalurkan bantuan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Jamri Masran berkata, selain laluan yang tidak dapat diakses akibat jalan terputus, kekurangan kekuatan anggota serta persiapan aset logistik di lokasi turut menjadi cabaran utama dalam usaha menyelamat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir.
“Cabaran yang dihadapi oleh pihak bomba setakat ini adalah kekurangan anggota dan persiapan aset ke lokasi.
“Bagaimanapun seramai 60 orang anggota bomba dan 12 aset marin serta utiliti telah dikerahkan untuk operasi banjir di Bintulu,” kata Jamri ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan banjir masih dalam pemantauan, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan dibuka sekiranya hujan berterusan.
Tambahnya, pasukan penyelamat sedang berusaha memastikan bantuan dapat dihantar dengan segera kepada penduduk terjejas, terutama di kawasan yang terputus hubungan akibat air naik.
“Untuk koordinasi antara Bomba dan agensi lain telah diurus dengan baik, di mana koordinasi tersebut mengguna pakai arahan nombor satu NADMA pengurusan bencana.
” Setiap agensi telah memainkan peranan masing-masing dan ia masih lagi terkawal,” ujarnya lagi.
Beliua mengingatkan bagi penduduk yang terjejas dengan bencana banjir agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak mengambil risiko berada di kawasan yang berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. -TVS