KUCHING, 29 Jan: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri mengaktifkan operasi 24 jam bagi Bilik Gerakan Pengurusan Bencana Miri bermula hari ini, kata ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Kim Shin berkata keputusan itu dibuat susulan keadaan hujan berterusan yang menyebabkan berlakunya banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Miri.
“Kami telah mengaktifkan bilik operasi dan penyelamat di Miri dan akan beoperasi 24 jam bermula hari ini. Selain itu, kami juga telah mengaktifkan pasukan kecemasan yang melibatkan pelbagai agensi.
“Jawatankuasa tersebut telah memantau beberapa kawasan berisiko tinggi kerana sesetengah tempat dinaiki air sehingga ke perkarangan tempat letak kereta di rumah.
“Selain itu, Jabatan Saliran dan Pengairan (DID) dan Majlis Bandaraya Miri akan turun padang untuk memantau kawasan banjir dan meneliti tindakan yang boleh diambil untuk mengurangkan banjir.
Menteri Pengangkutan Sarawak itu berkata demikian kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan terdapat kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di Miri yang menjejaskan dua buah rumah.
Sementara itu, situasi yang sama berlaku di Bintulu apabila hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan dilandang banjir.
Oleh itu, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong memaklumkan Bintulu kini juga terjejas teruk akibat dilanda banjir dan bantuan segera amat diperlukan.
Wilson Ugak yang juga Timbalan Menteri Digital memaklumkan keadaan banjir tersebut menyebabkan beberapa kawasan seperti Tubau dan Jelalong tidak dapat diakses dan dihubungi.
“Saya minta mana-mana agensi persekutuan dan negeri berganding bahu mengurus danterus memantau situasi ini kerana Bintulu dilanda banjir (teruk) yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya juga minta semua
“Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghantar barang-barang keperluan untuk memberi sebarang kemudahan dengan segera. Mereka menghantar (bantuan) menggunakan bot ke Ulu Tubau kerana jalan terputus.
“Saya sedang mengarahkan pasukan di pusat khidmat saya untuk melihat keadaan ini dan bekerejasama dengan Jabatan Kebajikan memberikan bantuan makanan dan sebagainya,” katanya. – TVS