KUCHING, 29 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk memantau kawasan berisiko mengalami tanah runtuh, terutama membabitkan kawasan lereng bukit di Miri.
Arahan itu menurut beliau susulan bagi membendung tragedi serupa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di Miri pada awal pagi Rabu berlaku juga di kawasan lain di Bandaraya berkenaan.
“Saya telah meminta (Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk memantau keadaan cuaca di negeri ini bagi tempoh dua hingga tiga hari ini kerana laporan yang dikeluarkan oleh Meteorologi ada menyatakan ramalan hujan sehingga 31 Januari ini,” kata beliau.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina 2025 di kediaman tokoh perniagaan, Dato Goh Leng Chua di Jalan Tan Sri Datuk William Tan di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa kerajaan negeri akan meningkatkan pemantauan dan langkah pencegahan di kawasan yang berisiko mengalami tanah runtuh, terutamanya di kawasan berbukit dan tanah tinggi yang terdedah kepada hujan lebat berterusan.
Abang Johari turut memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. – TVS