KUCHING, 29 Jan: Seramai 1, 097 mangsa banjir daripada 294 keluarga (KIR) telah dipindahkan ke 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak setakat ini.
Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak, jumlah terkini mangsa tertinggi direkodkan di Bahagian Serian, dengan seramai 509 orang ditempatkan di lapan PPS.
Ia merangkumi PPS Dewan Balu Gambang Tebakang Bidayuh (11), PPS Dewan SK Tebakang (33), PPS Slabi Entukuh (35), PPS Balairaya Betong Kanowit (25), PPS SK Pengkalan Sorak (60), PPS Dewan Kanpung Lintang Baru (166), PPS Dewan Masyarakat Serian (16) dan PPS SK Tanah Merah (163).
Diikuti di Bahagian Bintulu dengan dua PPS dibuka iaitu di Rh Steven Ak Jeli, Tatau dan Pusat Sukan BDA Kidurong, yang menempatkan seramai 143 mangsa daripada 46 keluarga (KIR).
Sementara itu, Bahagian Samarahan mencatatkan 73 mangsa yang berlindung di PPS Dewan Mesra Simunjan, manakala di Bahagian Kuching, 162 mangsa kini berada di PPS SJK (C) Chung Hua Batu Kawa dan Dewan Pangkalan Bau.
Manakala di Miri, Pusat Bulan Sabit Merah menempatkan enam mangsa banjir, selain menjadi tempat perlindungan bagi 133 mangsa akibat kejadian tanah runtuh.
Selain itu, insiden kebakaran di Bahagian Sibu menyebabkan 71 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Datuk Aaron Bawan Kanowit.
Data kemas kini mangsa banjir akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-TVS