Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Cadangan pembinaan pelabuhan laut dalam dan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang, Demak Laut, dilihat sebagai langkah strategik yang mampu melonjakkan pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Projek Mega Tanjung Embang jadi pemangkin pembangunan Sarawak

ByConnie Grace

KUCHING, 28 Jan: Cadangan pembinaan pelabuhan laut dalam dan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang, Demak Laut, dilihat sebagai langkah strategik yang mampu melonjakkan pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni menyifatkan kedua-dua projek ini bukan sahaja berupaya meningkatkan taraf hidup penduduk setempat, tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu, khususnya kepada golongan muda.

“Projek ini bakal memberi impak besar kepada pembangunan kawasan ini. Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg atas kepercayaan memilih Tanjung Embang sebagai lokasi projek,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Menurut beliau, pemilihan Tanjung Embang yang berada dalam kawasan Demak Laut, dianggap strategik kerana lokasinya yang berhampiran Bandaraya Kuching dan Pusat Komersial Demak Laut.

Katanya, pembinaan pelabuhan laut dalam bakal menampung kapal-kapal besar untuk urusan import dan eksport yang selama ini tidak dapat ditampung oleh pelabuhan sedia ada di Sarawak.

Beliau turut menyeru penduduk setempat agar mempersiapkan diri dengan kemahiran yang berkaitan dengan projek ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.

“Pembangunan ini adalah peluang besar untuk kawasan Tanjung Embang dan sekitarnya. Bersama-sama, kita harus bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan besar ini,” tegasnya.

Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan mengumumkan bahawa Tanjung Embang dipilih sebagai lokasi untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu Sarawak.

Mewakil penduduk setempat, Ketua Kampung Semilang, Pauji Ameng yakin projek ini mampu mengubah landskap pembangunan kawasan itu.

Namun, beliau berharap agar projek-projek kecil yang telah dicadangkan sebelumnya diteruskan sementara menanti pelaksanaan projek mega ini.

“Projek ini akan membuka banyak peluang untuk generasi muda. Terima kasih kepada kerajaan kerana memilih kawasan kami untuk pembangunan ini,” katanya.

Menurut sejarah, Tanjung Embang asalnya merupakan sebuah perkampungan kecil di bawah pentadbiran Kampung Beradek sebelum bertukar nama kepada Kampung Tiang Api pada akhir 1950-an selepas pembinaan dua menara rumah api. Kedua-dua menara ini masih berfungsi sebagai panduan kepada kapal-kapal yang keluar masuk ke Laut China Selatan melalui Sungai Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan