GEDONG, 28 Jan: Perhubungan jalan raya baharu yang menghubungkan kawasan Gedong dengan kawasan Serian dan Kota Samarahan diyakini menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis projek mega itu akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk di kawasan tersebut, khususnya di Gedong.
“Di kawasan Gedong, akan ada jalan raya baharu dengan empat lorong yang menghubungkan Serian, Gedong, dan Kota Samarahan.
“Pembinaan ini akan membuka kawasan ini kepada lebih banyak peluang pembangunan, termasuk projek penanaman padi berskala besar. Kerajaan Sarawak mensasarkan pengeluaran padi sebanyak 240,000 tan setahun menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Digital Desa 2024 di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong, hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo; serta Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Tambah Abang Johari, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur jalan raya seperti Lebuh Raya Pan Borneo dan Jalan Pesisir sebagai asas kepada pembangunan ekonomi tempatan.
Projek jalan raya Gedong ini dijangka menyokong pelaksanaan projek penanaman padi menggunakan teknologi baharu.
“Kita telah mengenal pasti 14,000 hektar tanah kerajaan, tidak termasuk tanah milik pekebun kecil, yang akan dimanfaatkan untuk penanaman padi.
“Contohnya, di Lubok Punggor, kawasan tersebut mampu menghasilkan sembilan tan padi sehektar dalam masa 24 bulan, iaitu lima musim tanaman,” jelasnya.
Menurut beliau, dengan sasaran pengeluaran 240,000 tan beras setahun menjelang 2030, Sarawak tidak perlu lagi bergantung pada import beras dari Vietnam dan India kerana ia penting bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan di sebalik cabaran perubahan iklim global.
Rabu lepas, media melaporkan bahawa Perbena Emas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Pansar Bhd, telah dianugerahkan kontrak bernilai RM477.69 juta oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Kontrak tersebut melibatkan reka bentuk dan pembinaan lebuh raya berkembar empat lorong sepanjang 8.5 kilometer yang melibatkan dua jambatan, rizab Transit Aliran Autonomi (ART), trek basikal, koridor utiliti, lampu jalan, dan infrastruktur berkaitan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan bahawa projek ini merangkumi Seksyen 1B lebuh raya dari Simpang Tanah Puteh ke Isthmus Gedong.
Pembinaan dijadualkan bermula bulan depan dengan tempoh kontrak selama 36 bulan. – TVS