KUCHING, 28 Jan: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan penghargaan kepada sumbangan besar masyarakat Cina dalam pembangunan negeri ini.
Menurut beliau sokongan dari kaum Cina telah membantu Sarawak mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum.
Ia dapat disaksikan kata beliau melalui ekonomi Sarawak yang telah berkembang pesat dengan pelaburan yang besar dalam infrastruktur, teknologi, serta sektor-sektor baharu seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau.
“Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya, Sarawak amat beruntung dengan perbezaan ini yang telah berjaya memupuk keharmonian dan kemakmuran.
“Masyarakat Cina telah memainkan peranan yang sangat penting dalam sektor ekonomi, politik, pendidikan, dan sosial, serta turut memberi sumbangan yang besar terhadap kejayaan Sarawak dalam pelbagai bidang,” kata beliau.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas Tahun Baharu Cina 2025 pada hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, masyarakat Cina terus menjadi rakan strategik yang menyokong pembangunan negeri melalui pelbagai inisiatif.
“Saya mencadangkan agar masyarakat Bumiputera memperkukuhkan kerjasama dengan masyarakat Cina, dengan memanfaatkan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki oleh kedua-dua komuniti dalam bidang ekonomi, keusahawanan, sukan, dan pelbagai sektor lain,” ujar beliau.
Melalui kerjasama ini, tegas Tun Dr Wan Junaidi peluang untuk pertukaran pengetahuan dan kemahiran akan dapat meningkatkan potensi dan daya saing masyarakat Bumiputera, sekali gus menyumbang kepada pembangunan bersama yang lebih inklusif dan progresif serta mengeratkan lagi tali perhubungan dengan masyarakat Cina.
Tun Dr Wan Junaidi dalam perutusannya turut menekankan pembangunan negeri yang mampan memerlukan perhatian mendalam terhadap bidang pendidikan, khususnya dalam penguasaan teknologi tinggi (high technology) dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy). Inisiatif ini sejajar dengan fokus strategik yang telah digariskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Dalam aspek pendidikan, anak-anak Sarawak Cina atau Bumiputera wajar berganding bahu untuk menguasai Matematik, Bahasa Inggeris, serta bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
“Kejayaan kaum Cina dalam bidang ini menjadi inspirasi kerana terbukti berkesan melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi,” jelas beliau berikutan ia amat penting untuk memastikan anak-anak Sarawak bersedia memenuhi keperluan masa hadapan, terutamanya dalam sektor strategik yang semakin dipacu oleh kemajuan teknologi.
Penguasaan STEM tergasnya bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing rakyat Sarawak tetapi juga memastikan penglibatan aktif dalam pembangunan negeri secara keseluruhan.
Justeru itu beliau menyeru agar memanfaatkan inisiatif yang diperkenalkan oleh Abang Johari terutamanya pendidikan tinggi percuma yang akan dilaksanakan pada tahun 2026.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan akses rakyat kepada pendidikan berkualiti, khususnya di semua institusi pengajian tinggi yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” tegas beliau.
Beliau seterusnya mahu prinsip meritokrasi dan perpaduan diperkukuh dalam merealisasikan pembangunan negeri yang holistik, adil, dan inklusif, sekali gus memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat yang berpanjangan, serta membina masyarakat yang harmoni, progresif, dan berdaya saing.
Dengan itu beliau menyifatkan sambutan Tahun Baru Cina 2025 sebagai lambang kepada permulaan baharu yang sarat dengan harapan dan peluang.
Bersandarkan kepada Tahun Ular Kayu menurut beliau ia secara simbolik membawa makna mendalam berkaitan nilai-nilai kebijaksanaan, fleksibiliti, dan ketahanan. -TVS