GEDONG, 28 Jan: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited memperkasakan inisiatif Dasar Pandang ke Malaysia Timur dengan memberi tumpuan khas kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di Sabah dan Sarawak.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata kementerian itu memperuntukkan hampir RM2 bilion bagi tahun 2023 hingga 2024 yang disalurkan kepada hampir 85,000 usahawan dan koperasi di Sarawak melalui tujuh agensi pembiayaan.
“KUSKOP melalui tujuh agensinya telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM731.205 juta kepada 42,006 usahawan dan koperasi pada tahun 2023 manakala tahun 2024 pula, RM1.084 bilion telah disalurkan kepada 42,689 usahawan dan koperasi di wilayah ini.
“Tahun ini, dengan kerancakkan pembangunan di Sarawak, saya amat yakin kita dapat menambahkan lagi pembiayaan yang diperlukan oleh usahawan-usahawan PMKS dan juga koperasi di bawah inisiatif Dasar Pandang ke Timur dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Penutupan Digital Desa 2024 di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap ADUN Gedong di sini.
Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo; serta Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Tambah Ewon, kementeriannya turut menggandakan usaha mereka dengan penyaluran geran khusus untuk usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta pewujudan premis Tamu Desa, di samping memperkasakan program digital desa yang memfokuskan kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Abang Johari pada sidang media yang sama menzahirkan penghargaan kepada KUSKOP dan Bank Rakyat kerana membuka lebih banyak cawangan bank itu yang dilihat memudahkan urusan perniagaan dan memangkin khidmat kewangan yang amat diperlukan oleh usahawan serta koperasi di wilayah ini.
Menurutnya, langkah kementerian dan bank tersebut adalah selari dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk memantapkan pembangunan luar bandar. – TVS