WASHINGTON, 28 Jan: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio memuji kepimpinan Raja Maghribi Mohammed VI dalam mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau dan global, sambil menekankan kekuatan perkongsian strategik AS-Maghribi, lapor agensi berita Maghribi (MAP).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin selepas panggilan telefon dengan Menteri Luar Maghribi, Kerjasama Afrika dan Ekspatriat Maghribi, Nasser Bourita, Jabatan Negara AS menekankan peranan Maghribi dalam memajukan usaha diplomatik dan bantuan kemanusiaan.
Perbincangan meliputi pelaksanaan perjanjian gencatan senjata Gaza, pembebasan tebusan dan sumbangan Maghribi kepada usaha bantuan kemanusiaan di Gaza, menurut jurucakap Jabatan Negara.
Rubio juga mengesahkan komitmen Washington untuk bekerjasama rapat dengan Maghribi untuk menangani konflik serantau, termasuk melalui rangka kerja Perjanjian Abraham, yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan diplomatik di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Di luar hal keselamatan, kedua-dua pegawai menekankan kepentingan memperluaskan perdagangan, pelaburan dan kerjasama komersial untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara AS dan Maghribi, menurut kenyataan itu. -TVS