KUCHING, 27 Jan: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat di Astana Sarawak di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kunjungan tersebut bertujuan membincangkan mengenai prestasi dan insiatif Bank Rakyat di Sarawak.
“Saya bersama-sama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan dan Koperasi, Pengerusi Bank Rakyat dan Pengurusan Tertinggi Bank Rakyat mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Wan Junaidi untuk berkongsi pandangan yang menjadi input kepada Rang Undang-Undang Koperasi yang baharu yang mana ia akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.
“Kita juga berkongsi tentang prestasi dan insiaitif yang dijalankan di Sarawak. Tun Wan Junaidi turut berkongsi pandangan dan kajian yang bersesuaian untuk memperbaiki perkhidmatan Bank Rakyat. Seterusnya, cadangan untuk menambah cawangan-cawangan di Sarawak susulan dengan pembangunan yang pesat, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, insiatif yang dijalankan termasuk penambahan cawangan perkhidmatan perbankan di Sarawak serta pelaksanaan pembiayaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi khususnya dalam sektor tenaga hijau.
“Antaranya insiatif yang dijalankan adalah untuk menambah cawangan perkhidmatan dan termasuk perkhidmatan perbankan di beberapa bandar di Sarawak. Selain itu, melaksanakan pembiayiaan yang boleh wujudkan di Sarawak berikutan daripada perkembangan ekonomi di Sarawak yang mahu menjadi peneraju dalam sektor tenaga hijau dan sebagainya,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat Dato Seri Dr. Vaseehar Hassan Abdul Razack dan Mohd Jafri Kudus. -TVS