KUCHING, 27 Jan: Satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa, pastinya setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi sinar harapan kepada mereka yang memerlukannya.
Namun, masih ada lagi kekangan berkaitan keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan bagi memastikan bekalan darah di Sarawak sentiasa mencukupi.
Pendermaan darah secara berkala menjadi nadi utama bagi kelangsungan hidup ramai pesakit di hospital, termasuk di Hospital Umum Sarawak (HUS) yang saban hari memerlukan bekalan darah yang mencukupi untuk menampung keperluan pesakit.
Menurut Pakar Transfusi HUS, Dr. Wong Yi Shen, keperluan darah di Sarawak meningkat setiap tahun, di HUS sahaja, sekurang-kurangnya 70 hingga 80 beg darah diperlukan setiap hari untuk memenuhi keperluan pesakit dari pelbagai latar belakang dan situasi.
“Untuk keperluan darah di HUS, kita memerlukan sekurang-kurangnya 70 beg darah sehari. Kadang-kadang boleh mencecah 80 beg darah. Bagi awal tahun ini, angka yang paling tinggi yang direkodkan adalah 95 unit darah sehari.
“Kita perlu memastikan bekalan darah itu mencapai keperluan dan permintaan sedemikian. Di Sarawak, sekurang-kurangnya 500 hingga 600 beg darah yang diperlukan untuk satu hari.
“Keseluruhannya berjumlah 50,000 beg darah diperlukan di Sarawak. Di HUS sahaja mencecah 24, 000 beg darah. Jumlah itu menunjukkan peningkatan. Kita menyasarkan jumlah itu meningkat lima peratus bagi setiap tahun,” katanya kepada TVS.
Setiap tahun, ribuan pesakit di hospital-hospital di Sarawak memerlukan bekalan darah untuk pembedahan, rawatan kanser, kemalangan, dan penyakit lain.

Namun, terdapat cabaran yang masih perlu dihadapi untuk memenuhi permintaan ini.
Dr. Wong berkata kumpulan darah jenis “O” sering mengalami kekurangan kerana ia boleh digunakan untuk semua jenis darah, menjadikannya sangat diperlukan dalam situasi kecemasan.
“Mengikut populasi, kumpulan darah O adalah yang paling banyak, dengan kira-kira 30 hingga 40 peratus populasi memilikinya. Kumpulan darah B mungkin sekitar 20 peratus kumpulan darah A sekitar 15 peratus dan kumpulan darah AB hanya lima hingga sembilan peratus.
“Oleh itu, keperluan darah juga bergantung kepada peratusan populasi ini. Kumpulan darah O akan lebih banyak permintaan kerana ia adalah kumpulan darah yang paling banyak. Permintaan untuk darah kumpulan B dan A juga tinggi, manakala permintaan untuk darah AB lebih rendah kerana peratusannya yang kecil dalam populasi.
“Dalam keadaan kecemasan, seperti kemalangan atau situasi di mana pesakit kehilangan banyak darah, kadang-kadang kita tidak sempat untuk melakukan ujian keserasian darah. Dalam situasi seperti ini, doktor di unit kecemasan mungkin meminta darah kumpulan O dan plasma darah AB,” ujarnya.
Baru-baru ini, Hospital Umum Sarawak (HUS) memaklumkan kekurangan darah jenis “O”, di mana terdapat dua kes upper gastro intes tinal bleed yang serius.
Pesakit tersebut kehilangan hampir dua liter darah sehingga memerlukan 60 beg darah untuk rawatan.
Peka terhadap perkara ini, Kerajaan sarawak melalui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Sarawak telah menyediakan bantuan kewangan untuk pemprosesan transfusi darah di hospital.
“Kementerian Kesihatan telah membelanjakan wang untuk memeriksa supaya tiada jangkitan HIV dan hepatitis. Jadi ia bukan percuma. Dalam erti kata lain bahawa kita memerlukan wang untuk menjalankan proses ini supaya pemindahan darah kepada seseorang dijamin bersih,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Sim menyeru masyarakat untuk menderma darah dan menjadikannya sebahagian dari gaya hidup sihat serta tanggungjawab sosial.

“Jadi kami (kerajaan) menyeru orang ramai untuk tampil ke hadapan bagi menderma darah supaya anda boleh membantu hospital untuk menyelamatkan pesakit di hospital Sarawak yang memerlukan pemindahan darah,” ujarnya.
Meskipun permintaan bekalan darah meningkat, kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah masih perlu dipertingkatkan.
Pentingnya derma darah tidak dapat dinafikan kerana ia dapat memberikan manfaat yang besar kepada mereka yang memerlukan dan dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain.-TVS