KUALA LUMPUR, 27 Jan: Polis tidak pernah menutup kertas siasatan kes penyerang Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim disimbah asid pada tahun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya komited untuk terus menyiasat kes itu meskipun tiada sebarang petunjuk baharu.
“Saya berjanji kes ini tidak akan ditutup (malah) polis terus menyiasat dan berharap akan ada butiran dan maklumat baharu yang akan kita terima,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau kaedah yang sama digunakan untuk menyelesaikan kes ini dengan kes-kes sensitif lain.
Pada 5 Mei lepas, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan. – TVS