KUCHING, 27 Jan: Sarawak berada di landasan yang tepat untuk permulaan tahun 2025 dengan kejayaan yang telah dicapai Sarawak Petchem apabila 20, 000 tan metrik metanol dari wilayah ini berjaya dieksport ke China pada 14 Januari lalu.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pembangunan gas domestik akan giat dilaksanakan dengan penumbuhan loji metanol hijau untuk memastikan Sarawak dapat menikmati faedah daripada penghasilan gas tersebut, selain menyediakan pekerjaan bergaji tinggi dan seterusnya menjana ekonomi tempatan.
“Dengan pendekatan ini, saya yakin sumber gas kita boleh menjadi industri hiliran utama untuk mengubah ekonomi kita dalam tempoh lima tahun akan datang dan seterusnya dengan matlamat utama untuk meningkatkan pendapatan isi rumah Sarawak agar setanding, jika tidak melepasi purata negara.
“Loji baharu ini sememangnya bukan loji terakhir yang dibina di Tanjung Kidurong kerana pada hari pelayaran jauh metanol, saya telah melakukan pecah tanah loji yang lain untuk menghasilkan metanol hijau,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2025 hari ini.
Jelas beliau lagi, pembangunan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 500 megawatt (MW) di Miri oleh Petros, menunjukkan hasrat Sarawak menggunakan gas untuk menjana kuasa bagi kegunaan industri, selain dieksport ke kawasan jiran.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut berharap bahawa proses pengambilalihan MASWINGS daripada Malaysia Aviation Group (MAG) akan dimuktamadkan selepas Tahun Baharu Cina dan sebelum Hari Raya Puasa bagi merealisasikan cita-cita negeri ini untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri.
“Proses penilaian telah selesai dan tidak lama lagi kita akan menandatangani perjanjian untuk pengambilalihan. Dengan model perniagaan yang sesuai dan pembinaan lapangan terbang antarabangsa ultra-moden baharu di Kuching, saya yakin kita boleh membangunkan syarikat penerbangan baharu itu sebagai syarikat penerbangan serantau yang kompetitif dan Kuching sebagai hab penerbangan baharu,” ujarnya lagi.
Bersempena dengan Tahun Ular, Abang Johari berkata, Tahun Ular adalah tahun yang dinamik untuk belajar dari masa lalu dan masyarakat perlu melangkah ke hadapan dengan kebijaksanaan, kesedaran serta belas kasihan untuk melalui tahun baharu yang penuh dengan peluang dan cabaran.
Beliau juga menyeru seluruh rakyat Sarawak untuk terus berusaha memperkukuhkan perpaduan dan sentiasa menghormati perbezaan dari segi agama dan budaya masyarakat di Bumi Kenyalang ini. – TVS