BAU, 27 Jan: Projek menaik taraf jalan berkembar dari simpang Bau-Lundu fasa satu mencapai kemajuan 90 peratus perolehan tanah.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, projek tersebut berjalan lancar dengan kerajaan menyelesaikan pampasan tanah kepada pemilik yang terjejas termasuk pengalihan utiliti di sepanjang kawasan projek.
“Perkara utama adalah pengalihan perkhidmatan utiliti. Sepanjang jalan, kita mempunyai paip besar, paip air dan bekalan elektrik. Dua perkara ini tidak boleh menjejaskan masyarakat kita.
“Jika dipindahkan, ia tidak boleh mengganggu kehidupan seharian masyarakat di Bau,” katanya kepada media selepas menyempurnakan pelancaran pintu gerbang Bau malam tadi.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Infrastruktur Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek tersebut merangkumi kerja naik taraf jalan raya tunggal sedia ada kepada jalan raya berkembar sepanjang 3.65 kilometer dengan jumlah kontrak sebanyak RM74 juta.
Menurutnya, jalan berkembar itu hampir menyamai Lebuh Raya Pan Borneo dan bersambung dari Lebuh Raya Pan Borneo terus ke Pekan Bau.
“Sekarang ini, kerja-kerja mengalami sedikit kelewatan dari jadual kerana menghadapi beberapa masalah utiliti iaitu bekalan air, tiang elektrik, telefon dan banyak struktur rumah penduduk yang terlibat dalam pembinaan jalan yang sedang dilakukan,” ujarnya.
Beliau percaya JKR bekerja keras menyelaras bersama Jabatan Tanah dan Survei serta agensi-agensi utiliti terlibat dalam menangani isu utama berkenaan.
Sementara itu, Henry yang juga ADUN Tasik Biru berkata, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasannya turut berjalan lancar.
“Kita melalui proses di mana Jabatan Tanah dan Survei mengenal pasti tanah dan memastikan tiada halangan.
“Apabila kita meneruskan proses mengenal pasti lokasi, mereka boleh melaksanakan projek. Sudah tentu ada beberapa kelewatan, tetapi saya beranggapan tiada masalah,” jelasnya.-TVS