Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Presiden Indonesia Prabowo Subianto untuk acara minum petang sempena lawatan negara Prabowo ke Malaysia di Menara Berkembar PETRONAS, hari ini. Foto Bernama

PM Anwar anjur majlis minum petang raikan Presiden Prabowo

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis minum petang bagi meraikan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di mercu tanda ikonik, Menara Berkembar PETRONAS di sini hari ini.

Dengan pemandangan indah latar langit Kuala Lumpur dari tingkat 40 Menara 1, kedua-dua pemimpin dijadualkan meluangkan masa kira-kira satu jam menjamu selera sambil berbual secara santai.

Selain delegasi Indonesia, majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, serta pegawai kanan kerajaan dan wakil perniagaan dari kedua-dua negara.

Terdahulu, Anwar dan Prabowo mengadakan pertemuan dua hala di sini dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Antara topik dibincangkan ialah pelaburan dan perdagangan, pertahanan, pembangunan kapasiti, kesalinghubungan dan kerjasama dalam ASEAN.

Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran bersama.

Hubungan itu merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (US$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (US$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan