MIRI, 27 Jan: Sempena sambutan Tahun Baru Cina, Pintu Masuk ICQS Sungai Tujoh di Miri terus menjadi tumpuan pelawat dari Brunei Darussalam susulan pelanjutan waktu operasi yang diumumkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak.
Waktu operasi kini dilanjutkan bermula seawal jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, berkuat kuasa dari 26 Januari hingga 2 Februari bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan semasa musim perayaan.
Langkah tersebut menyaksikan peningkatan ketara lalu lintas di pintu masuk utama tersebut dengan jumlah kenderaan meningkat sehingga 70 peratus berbanding hari biasa.
Ramai pelawat mengambil peluang bukan sahaja untuk menyambut perayaan bersama keluarga di Sarawak tetapi juga untuk melancong dan membeli-belah di Miri.
Lee Hooi Kim, seorang pelawat dari Pulau Pinang yang menetap di Brunei lebih 30 tahun menyifatkan kunjungannya ke Miri sempena Tahun Baru Cina sebagai pengalaman yang berbaloi.

“Kalau jalan-jalan, biasanya satu hari sahaja. Tapi kalau ada masa, saya akan tinggal satu malam. Dari segi perkhidmatan, semuanya memuaskan. Miri memang tempat yang bagus, sebab itu saya suka datang ke Sarawak, lebih-lebih lagi semasa musim perayaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagi Aliman Mohd Noor yang datang bersama kumpulan peminat motosikal dari Brunei, perayaan Tahun Baru Cina menjadi peluang untuk bersantai sambil menikmati suasana kemeriahan.

“Kami buat perjalanan harian untuk menikmati suasana perayaan dan membeli barangan motosikal. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun ada sedikit kesesakan di pintu masuk. Hari ini, kami bersama geng motor mengambil kesempatan melawat Miri sambil merasai kemeriahan perayaan ini,” ujarnya.
Pihak berkuasa turut mengambil langkah meningkatkan kawalan keselamatan dengan menempatkan anggota RELA dan PDRM bagi memastikan perjalanan di kawasan tersebut lebih teratur.
Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan bijak bagi mengelakkan kesesakan terutama pada waktu puncak dan sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya.-TVS